Monday 4 March 2013

Pengurusan Bilik Darjah Sekolah Rendah

PENGENALAN

Di dalam bilik darjah, selain mengajar, guru juga memainkan peranannya sebagai pengurus. Tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif, mengurus bahan-bahan pengajaran dan sebagainya.
Kecekapan guru dalam menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yanag baik dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Pelbagai kekangan dan permasalahan yang akan wujud dalam bilik darjah. Oleh itu, keperluan dan kesedaran tentang pentingnya pengurusan bilik darjah perlu ada dan ditanam di dalam dada semua insan yang bergelar pendidik.

DEFINISI PENGURUSAN

Istilah pengurusan mempunyai berbagai-bagai takrif. Seperti bidang-bidang pengajian dan pendidikan yang melibatkan manusia, istilah pengurusan sukar untuk ditakrifkan bagi membolehkan ia diterima secara umum.
Mary Parker Follett, seorang pelopor pengurusan klasik mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui sumbangan orang lain.
Takrif pengurusan yang diberi oleh Follett ini banyak didapati dalam buku pengurusan moden. Harold Koontz pula mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui dan bersama orang lain di dalam suatu kumpulan yang sengaja diadakan. Takrif pengurusan seperti ini memberitahu kepada kita bahawa pengurusan biasanya mencapai objektif dengan cara memberikan penugasan kerja kepada orang lain supaya kerja- kerja dapat dilaksanakan bagi mencapai objektif tersebut.
Pengurusan secara fitrahnya melibatkan perhubungan pengurus dengan pekerja bawahannya atau subordinat. Dalam hal ini, Stoner mentakrifkan pengurusan ialah satu proses perancangan, pengelolaan, pengarahan dan kawalan terhadap usaha-usaha ahli organisasi dan penggunaan sumber-sumber organisasi yang lain dalam usaha untuk mendapatkan matlamat yang telah ditetapkan.
Menurut perspektif Islam, pengurusan ditakrifkan sebagai satu proses melakukan kerja dan menyempurnakan kerja melalui fungsi-fungsi pengurusan secara fitrah melalui dan bersama orang lain dalam usaha mencapai objektif kerja secara berkesan dan menggunakan sumber-sumber organisasi dengan cekap dalam persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah-ubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai al-falah di dunia dan di akhirat.
Pengurusan juga boleh ditakrifkan sebagai satu proses mendapatkan penyertaan, kerjasama dan campur tangan ahli untuk mencapai objektif-objektif organisasi atau kumpulan, gerak kerjanya termasuk merancang mengelola, memimpin, mengarah dan mengawal.

DEFINISI BILIK DARJAH

Bilik darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran merupakan tempat yang terpenting yang perlu ada pada sekolah. Ia juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seseorang guru.
Secara amnya, bilik darjah ialah bilik-bilik disekolah di mana sekumpulan murid atau pelajar mengikuti pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru. Untuk konsep yang lebih luas, bilik darjah tidak semata-mata merupakan ruang untuk proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi mencakupi pelajar-pelajar dan guru yang belajar dan mengajar dan berinteraksi antara satu sama lain didalamnya.

DEFINISI PENGURUSAN BILIK DARJAH

Pengurusan bilik darjah merupakan satu proses yang memerlukan guru mengurus bilik darjah agar aktiviti penagjaran dan pembelajaran yang berkesan dapat dijalankan. Tugas mengurus bilik darjah termasuk juga aktiviti mengatur reka letak fizikal dan mewujudkan komunikasi dan interaksi dikalangan pelajar dan guru.
Pengurusan bilik darjah juga boleh didefinisikan sebagai set tingkahlaku yang kompleks yang digunakan oleh guru untuk menetapkan dan memastikan keadaan-keadaan bilik darjah dapat membawa ke pencapaian objektif pengajaran yang berkesan.
Menurut Lee Shok Mee (1995), pengurusan bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai semua tindakan guru mengendalikan kelas supaya mewujudkan suasana persekitaran yang tersusun untuk menggalakkan pembelajaran.




KUALITI YANG PERLU ADA PADA SEORANG GURU

Seringkali kita tertanya-tanya apakah kualiti yang perlu ada untuk menjadi seorang guru. Mungkin pada pandangan sesetengah orang mudah kerjaya seorang guru adalah amat mudah dan boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja. Namun begitu untuk menjadi seorang guru yang baik dan hebat sebenarnya memerlukan beberapa elemen yang perlu wujud secara semula jadi ataupun ianya boleh dipelajari baik melalui buku-buku ilmiah mahupun melalui pengalaman guru itu sendiri. Secara umumnya, kualiti-kualiti ini perlu ada pada individu yang menjadi guru ataupun ingin menjadi seorang guru. Mudah-mudahan ianya akan membantu kita menjadi seorang guru yang hebat.

1. Baik Hati Sifat baik hati dan timbang rasa seseorang guru amat dihargai oleh murid-murid kerana mereka akan belajar dalam suasana yang tenteram, yakin dan senang hati. 

2. Jenaka : Sifat jenaka seseorang guru akan membawa suasana riang gembira kepada murid-murid dalam bilik darjah. Guru yang suka berjenaka adalah guru yang suka didekati oleh muridnya.

3. Sabar : Seseorang guru yang mempunyai sifat sabar adalah guru yang boleh mengawal perasaan diri. Guru yang bersabar akan dapat menjalin perhubungan yang erat dengan murid-muridnya.

4. Bertanggungjawab : Sifat bertanggungjawab akan sentiasa mendorongkan guru mementingkan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Beliau juga akan sentiasa berusaha mejalankan tugasnya dengan sempurna.

5. Yakin : Guru yang mempunyai sifat yakin tidak akan merasa takut apabila perlu membuat sesuatu tindakan atau keputusan. Murid-murid akan lebih menghormati guru yang boleh mengambil tindakan dengan tegas.

6. Kepimpinan : Murid-murid akan mematuhi segala tunjuk ajar dan arahan guru yang mewarisi sifat kepimpinan dan juga kualiti kepimpinan. Dengan kualiti kepimpinan ini, segala aktiviti pembelajaran akan dapat dijalankan dengan licin dan lebih berkesan.

KOMPETENSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Kompetensi P&P yang harus dipupuk oleh guru efektif ialah seperti berikut :

1.  Kandungan mata pelajaran
- Meliputi lebih daripada fakta, istilah dan konsep umum.
Contoh : Guru yang efektif akan berusaha memperoleh ilmu dan kemahiran cara mengurus idea serta membuat perkaitan antara idea, kemahiran berfikir dan berhujah, pola perubahan yang terkandung dalam satu-satu disiplin, dan kebolehan memindahkan idea antara satu disiplin ke disiplin yang lain.

2. Strategi pengajaran
- Seiring dengan penggunaan pendekatan konstruktivis dalam proses P&P
Contoh : Guru yang efektif akan memberi penekanan kepada kolaborasi antara murid dalam usaha mereka menuntut ilmu, dan memahami diri sendiri.

3. Kemahiran penentuan matlamat dan perancangan pengajaran
Contoh : Guru yang efektif akan memperuntukkan masa dan usaha yang mencukupi dalam memastikan pelaksanaan pengajaran adalah selaras dengan perancangan dan matlamat tercapai.
Dalam masa yang sama, beliau akan membuat refleksi bagi mendapat maklum balas dan menambahbaik pengajaran agar menjadi lebih baik, menarik pada masa seterusnya.

4. Kemahiran mengurus bilik darjah
Merupakan salah satu aspek bagi seorang guru yang efektif.
Kebolehannya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dengan membentuk peraturan bersama murid-murid, memantau aktiviti bilik darjah, dan menangani masalah tingkah laku murid.

5. Kemahiran motivasi
Seorang guru yang efektif semestinya mempunyai strategi-strategi tertentu untuk memupuk motivasi kendiri murid-muridnya melalui peluang pendidikan yang diberikan dan pengalaman pendidikan yang disediakan selaras dengan minat dan matlamat dan kebolehan mereka.

6. Kemahiran komunikasi
Meliputi komunikasi lisan dan bukan lisan.
Contoh : Guru efektif yang mengamalkan prinsip bercakap bersama dan bukannya kepada murid-murid, ibu bapa, pentadbir, dan sebagainya. Seterusnya guru efektif juga mengekalkan kritikan pada tahap minimum, mempunyai gaya komunikasi bersifat asertif berbanding agresif, manipulatif atau pasif, dan yang terakhir berusaha meningkatkan kemahiran komunikasi murid-murid melalui latihan, praktis dan sebagainya.

7. Kemahiran teknologi
Guru efektif seharusnya menguasai kemahiran teknologi selaras dengan perkembangan sains dan teknologi semasa dan seterusnya mengintegrasikan teknologi tersebut dalam proses P&P di dalam kelas serta mempelbagaikan bahan multimedia sebagai alat sokongan.

PENGHAYATAN DAN AMALAN NILAI

Seorang guru itu haruslah memiliki nilai dan etika keguruan yang selaras dan menjurus kepada nilai-nilai keagamaan yang teguh dalam proses pembinaan negara bangsa. Memandangkan bidang pendidikan merupakan salah satu aspek penting dalam menjayakan harapan dan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dan bertaraf dunia, guru-guru juga perlu menyiapkan diri mereka dengan ciri-ciri pendidik yang terbaik yang dapat membantu proses pembinaan negara bangsa  yang cemerlang. Seorang guru juga  haruslah mempunyai ciri-ciri personal, ciri interpersonal, ciri profesional, ciri intelektual yang baik, berkemahiran dalam pengurusan, kreatif dan inovatif, menguasai ilmu pedagogi, dapat mengaplikasikan teori kepada amalan dan mengamalkan pembelajaran ilmu sepanjang hayat (Abd. Rahim, 2005).  Kesemua ciri ini amat penting bagi melayakkan seseorang menjadi guru yang berkesan, berwibawa dan berketrampilan bagi menjayakan proses pembinaan negara bangsa.





4 comments:

  1. Replies
    1. biasalah, sensei pun masih bergelar pelajar...hehe

      Delete
  2. cuba buat peta bulatan atau apa-apa yang berkaitan dengan i-think...mungkin lebih menarik

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaAllah, sensei akan cuba aplikasikan peta/peta minda/i-think =)

      Delete